Malaysia sah bertemu Vietnam dalam aksi final Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 selepas kedua-dua berjaya menumbangkan lawan masing-masing di separuh akhir pada Rabu.
Aksi separuh akhir Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 berlangsung pada Rabu dengan 4 buah pasukan iaitu Vietnam, Australia, Laos dan Malaysia turun bagi merebut tempat ke perlawanan akhir.
Pertemuan Laos vs Malaysia menyaksikan kemenangan 3-0 memihak skuad muda negara hasil jaringan Yusof Nasrullah, Aniq Thaqif dan gol sendiri pertahanan lawan untuk layak ke final.
Kemenangan ini turut mengakhiri penantian 7 tahun Malaysia bagi mara ke final Kejuaraan B-17 ASEAN apabila kali terakhir pasukan negara melakukannya adalah ketika edisi 2019 yang lalu.
Pada edisi 2019, Malaysia dibimbing oleh P. Maniam berjaya melangkah ke final Kejuaraan B-15 ASEAN sebelum muncul sebagai juara setelah menumbangkan tuan rumah, Thailand 2-1 di Chonburi.
Menanti Malaysia di final nanti adalah Vietnam yang berhasil mengalahkan Australia dengan keputusan 2-1 pada satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung di sebelah malam hari Rabu.
Vietnam berjaya bangkit dari ketinggalan satu gol pada awal babak pertama untuk menumpaskan Australia hasil jaringan Nguyen Manh Cuong dan Nguyen Van Duong sekaligus mara ke final.
Tumpuan kini terarah kepada skuad Malaysia B-16 kendalian Shukor Adan ini bagi mencipta kejayaan di pentas final selain membalas dendam kekalahan kepada Vietnam ketika di aksi peringkat kumpulan lalu.
Pada aksi tersebut, pasukan muda negara akur tunduk 0-4 kepada Vietnam dalam perlawanan pembukaan kumpulan A sebelum mencatatkan dua kemenangan dan mara lebih jauh selaku naib juara kumpulan.
Aksi final antara Malaysia vs Vietnam akan berlangsung pada Jumaat, 24 April 2026 di Gelora Delta Sidoarja dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 8.30 malam waktu Malaysia.