Jurulatih skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19), Nafuzi Zain mengambil serius aksi pertama Kumpulan B Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 menentang Singapura.
Ini kerana perlawanan ini bukan saja peluang buat anak buahnya meraih kemenangan pertama di peringkat kumpulan. Malah, ini juga peluang buat beliau menilai keserasian barisan pemain yang dipilih beraksi di atas padang.
“Yang penting persediaan itu kena menang untuk memberi peluang untuk kita layak ke separuh akhir, itu yang penting. Yang kedua, kemenangan dengan persembahan yang saya inginkan,” katanya seperti dilaporkan Nadi Arena.
Meskipun melihat Malaysia memiliki kelebihan, Nafuzi enggan memandang rendah cabaran negara jiran itu. Ini kerana anak buah Syed Azmir Syed Azman itu dilaporkan juga telah membuat persediaan untuk kejohanan ini.
Justeru, Nafuzi mahu memastikan skuad muda negara berada pada tahap terbaik sebelum menghadapi aksi pertama kumpulan.
“Dan kita tahu, bagi saya, Singapura sudah membuat persediaan dengan baik sebenarnya. Cukup bersedia dari segi persediaan dan saya melihat ada kualiti.
“Mungkin dari segi kita tengok yang Malaysia ni boleh menang tapi yalah, pada saat ini, persediaan kena lagi terperinci atas padang dengan saya,” ujarnya.
Nafuzi sedar ada pemain yang terpilih kali pertama beraksi untuk Malaysia di peringkat antarabangsa. Justeru, beliau berharap anak buahnya fokus dengan corak permainan dan tenang ketika beraksi.
“Saya harap pemain kita dapat main apa yang kita rancang dengan tenang. Bermain dengan tenang, rasa mungkin tak semua pemain yang ada pernah bermain dengan skuad kebangsaan sebelum ini.
“(Tak kira sama ada) B-16 atau B-17. Jadi, saya rasa saya harap tenaga mereka (untuk perlawanan ini). Yang penting, perlawanan pertama itu yang penting untuk menang,” tambahnya.
Malaysia membuka kempen kumpulan menentang Singapura pada 2 Jun ini.