Nafuzi Zain Sah Bimbing Skuad Malaysia B-19
MakanBola
FA Malaysia

Jurulatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain sah membimbing skuad Malaysia B-19.

Sebelum ini, teka-teki berhubung siapa yang akan mengisi kerusi panas itu timbul selepas kali terakhir diisi jurulatih Sepanyol, Juan Torres Garrido pada 2024.

Susulan kejayaan skuad Malaysia B-17 yang dibimbing Shukor Adan mara ke final Kejuaraan B-17 ASEAN 2026, nama jurulatih tempatan dicanang untuk mengisi kekosongan berkenaan.

Antara nama yang dicanang ialah Nafuzi, Tan Cheng Hoe dan Hairuddin Omar. Legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh melihat bekas jurulatih Terengganu FC itu sebagai calon terbaik mengisi kerusi panas berkenaan.

Salah satu kelebihan yang dimiliki Nafuzi ialah pengalaman membimbing ramai pemain muda termasuk skuad Malaysia B-23.

“Saya harap Coach Nafuzi dapat buktikan sesuatu dan bagi saya, dia memang layak berada di tempat itu. 

“Dan itu boleh menambahkan lagi pengalaman dia walaupun turun peringkat umur, pengalaman dari segi menjaga pemain-pemain muda,” katanya.

Kini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Nafuzi akan membimbing skuad Malaysia B-19 untuk Kejohanan B-19 ASEAN 2026.

Ini selepas nama bekas jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu disebut dalam kenyataan berhubung cabutan undi kumpulan kejohanan pada Khamis.

Skuad muda negara akan berdepan cabaran Thailand, SIngapura dan Brunei dalam Kumpulan B. Kejuaraan B-19 ASEAN akan berlangsung di Medan, Indonesia dari 1 hingga 13 Jun ini.

Selain Kejuaraan B-19 ASEAN, Nafuzi juga dijangka fokus untuk kempen kelayakan Piala Asia B-20 2027.