Jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain menyifatkan Selangor FC sebagai sebuah pasukan yang kuat dan serba lengkap.
Pandangan itu dibuat bekas jurulatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) itu menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 28 Ogos ini.
Nafuzi melabel Selangor pasukan serba lengkap kerana pasukan itu mengekalkan majoriti pemain tonggak dari musim lalu. Antaranya kapten, Faisal Halim, Chrigor Moraes dan Hugo Boumous.
Hal ini berbeza dengan Terengganu yang dibarisi ramai muka baharu untuk kempen musim 2026/27. Antara tonggak baharu pasukan itu ialah arkitek Sepanyol, Victor Ruiz dan bekas penyerang Kuching City FC, Jordan Mintah.
“Seperti yang ramai nyatakan, Selangor FC merupakan sebuah pasukan yang kuat dan serba lengkap, dengan barisan pemain yang berkualiti.
“Saya melihat mereka juga mempunyai ramai pemain yang sudah lama beraksi bersama, jadi mereka memiliki keserasian dan persefahaman yang baik.
“Ianya sedikit berbeza dengan pasukan Terengganu FC yang boleh dikatakan ramai muka baru dan baru dibentuk musim ini,” katanya.
Meskipun begitu, Nafuzi percaya anak buahnya mampu memberi saingan kepada anak buah Kim Pan-gon itu. Beliau juga percaya kelebihan beraksi di SSMZA juga akan membantu Terengganu meraih keputusan positif.
“Namun, saya yakin dengan pemain-pemain saya dan semangat yang mereka ada. Jumaat ini, saya percaya kita mampu memberikan tentangan yang sengit.
“Lebih-lebih lagi apabila beraksi di gelanggang sendiri, di hadapan ribuan penyokong kita. Sudah tentu, sasaran utama kami adalah untuk mendapatkan kemenangan, dan itulah misi yang kami bawa pada Jumaat ini,” tambahnya.
Terengganu berharap dapat meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Melaka FC 3-0. Ruiz dan penyerang Curacao, Gervane Kastaneer membuka akaun gol bersama Peteh musim ini.