Naik Taraf Stadium Negeri Sarawak Ambil Masa 6 Bulan
MakanBola
Kuching City FC

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan memaklumkan kerja naik taraf Stadium Negeri Sarawak dijangka mengambil masa antara empat hingga enam bulan.

Iswandi berkata demikian apabila ditanya tentang projek penaiktarafan stadium tersebut. Projek tersebut dijangka menelan belanja sebanyak RM7 juta.

Perkara ini dikongsikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Disember 2025.

Iswandi memaklumkan kerja penaiktarafan bakal meliputi aspek seperti lampu limpah, padang, tempat duduk, bilik persalinan dan papan mata.

Beliau turut memaklumkan kerja penaiktarafan Stadium Negeri Sarawak bakal dimulakan selepas tamat aksi terakhir Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

“Selepas perlawanan terakhir tentang Kuala Lumpur (City (KL City FC), kita akan buat pengubahsuaian stadium. (Antara yang akan dinaik taraf ialah) papan mata, padang, lampu limpah mengikut kita dalam 2,000W, tempat duduk dan bilik persalinan.

“Insya Allah, itu mungkin mengambil masa empat hingga enam bulan. Jadi, dalam masa itu, mungkin kita akan berkelana ke Semenanjung untuk mencari tempat untuk latihan,” katanya kepada Nadi Arena.

Iswandi turut memaklumkan jurulatih Singapura, Aidil Sharin Sahak hampir pasti kekal bersama Kuching City pada musim hadapan.