Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak tersenarai dalam senarai pemain yang akan beraksi dalam saingan All England 2026.
Perkara ini dikongsikan koresponden ShuttleHard, Akem Asyraf menerusi satu hantaran di X. Satu-satunya wakil Malaysia dalam acara perseorangan lelaki ialah Leong Jun Hao.
Nama Zii Jia dan seorang lagi wakil negara, Justin Hoh pula diletakkan dalam senarai pemain simpanan. Justin dan Zii Jia masing-masing pemain simpanan yang kelima dan ke-16.
Nama mereka akan dipanggil jika ada pemain yang beraksi dalam pusingan pertama menarik diri sebelum kejohanan bermula.
Situasi ini berlaku disebabkan Zii Jia kini berada di ranking ke-103 dunia. Sebelum ini, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu dapat beraksi dalam kejohanan elit disebabkan oleh perlindungan ranking BWF.
Walau bagaimanapun, tempoh perlindungan ranking itu luput sebelum saingan All England yang berlangsung pada Mac ini.
Sekiranya bekas juara Thailand Open itu mahu kembali beraksi dalam saingan elit seperti All England, Zii Jia perlu kembali berada dalam kelompok 32 pemain terbaik dunia.
Bekas juara All England itu bukan satu-satunya jaguh yang terpaksa melupakan kejohanan berprestij itu.
Bekas pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen juga tidak menyertai kejohanan itu kerana bergelut dengan masalah kecergasan. Jaguh Denmark itu juga belum menyertai sebarang kejohanan tahun 2026.
Zii Jia kini mengalihkan fokus kepada Thailand Masters selepas tersingkir di pusingan kedua Indonesia Masters.
Jaguh negara itu menarik nafas lega kerana mengakhiri kemarau kemenangannya selama 321 hari baru-baru ini.