Status terkini Harimau Malaya dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkemungkinan besar akan dikongsikan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Isnin.
Semua sedia maklum berkenaan nasib bola sepak Malaysia kini terletak di tangan AFC selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memutuskan untuk mengekalkan sebahagian denda ke atas FAM dan 7 pemain Harimau Malaya.
Keputusan CAS itu menyaksikan status penyertaan Malaysia dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2027 kini menjadi tanda tanya selepas 7 pemain tersebut pernah diturunkan dalam dua aksi peringkat kumpulan H.
Sebelum ini, pihak AFC telah memuat naik kenyataan rasmi memberitahu bahawa isu FAM & 7 pemain Harimau Malaya ini bakal dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika untuk sebarang tindakan.
Kini, menerusi makluman wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, satu sidang media akan diadakan oleh pihak FAM bagi membincangkan mengenai status terkini audit yang dijalankan oleh AFC ke atas badan induk bola sepak negara itu.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa status FAM sama ada bakal dikenakan penggantungan atau sebaliknya dijangka akan diketahui esok ketika sesi soal jawab berlangsung.
”FAM akan adakan sidang media Isnin (esok) mengenai status terkini audit AFC dengan status badan induk bola sepak negara sama ada kena ban atau tak antara yang dijangka akan diketahui susulan kes 7 pemain,” lapor Zulhelmi Zainal Azam.