Nasihat Tunku Ismail Kepada Peter Cklamovski
MakanBola
JST/FCT

Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor, mendedahkan satu nasihat berguna buat ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski dalam satu sesi latihan pasukan.

Perkara itu dikongsikan selepas Baginda sebelum ini mendakwa terdapat segelintir pihak dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tidak berpuas hati terhadap Baginda serta struktur baharu yang melibatkan pasukan kebangsaan.

Menurut Baginda, situasi berkenaan mula dirasai ketika sesi latihan pertama Harimau Malaya di Padang Seri Gelam apabila pihak media pasukan kebangsaan memaklumkan kepada media JDT bahawa mereka ingin meminjam kamera bagi tujuan liputan latihan.

Bagaimanapun, Baginda memaklumkan bahawa perkara itu menimbulkan persoalan apabila kamera berkenaan tidak dilepaskan seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Tambah Baginda lagi, selepas melakukan siasatan lanjut, Baginda turut menerima maklum balas mengenai beberapa perkara lain yang berlaku di sebalik tabir yang berpotensi mengganggu fokus pasukan.

Dalam masa sama, Baginda mendedahkan bahawa perkara tersebut turut dirasai oleh Cklamovski yang baru memulakan tugas bersama skuad kebangsaan.

Menurut Baginda, jurulatih kelahiran Australia berkenaan pernah menyuarakan pandangannya mengenai situasi yang dirasai pada minggu pertama bersama pasukan.

“Saya dapat rasakan ada sesetengah pihak yang tidak mahu kami berada di sini.”

Bagaimanapun, Tunku Ismail menegaskan bahawa Baginda segera menasihatkan Peter Cklamovski agar tidak melayan perkara tersebut dan terus memberi tumpuan kepada tugasnya bersama Harimau Malaya.

“Saya menasihatkan Peter (Cklamovski) supaya hanya fokus kepada tugasnya dan tidak melayan permainan politik.”