Advertisement
Natanael Siringoringo Sah Sertai PS Barito Putera
Asia Tenggara
MakanBola
PS Barito Putera

Bekas pemain Kelantan FC, Natanael Siringoringo kini sudah mendapat kelab baru dengan menyertai kelab Liga 1 Indonesia, PS Barito Putera semalam.

Perpindahan ini diumumkan oleh Laskar Antasari di laman Instagram rasmi mereka semalam.

Perpindahan ini turut menjawab teka-teki tentang kelab baru Natanael selepas meninggalkan skuad Kijang sebagai ejen bebas pada akhir September lalu.

Selepas meninggalkan The Red Warriors, beliau dikaitkan dengan beberapa kelab di Malaysia, Indonesia mahupun Thailand.

Namun begitu, pada akhirnya, Natanael memilih Barito Putera kerana ini merupakan antara kelab besar di Indonesia. Selain itu, beliau juga mahu berlatih di bawah bimbingan jurulatih Rahmad Darmawan.

“Saya sudah lama tau dengan Barito ini, dan saya tau ini klub besar di Indonesia, kemudian di sini itu kekeluargaannya sangat erat sekali sehingga ya membuat saya menerima tawaran ini, juga tak terlepas karena Coach RD (Rahmad Darmawan),” katanya kepada KlikKalSel.

CEO Laskar Antasari, Hasnuryadi Sulaiman menyifatkan kehadiran Natanael mampu memperkukuh cabaran pasukan itu dalam separuh kedua musim Liga 1 Indonesia.

“Insya Allah secara pengalaman kan dia pernah bermain di Liga dua Indonesia, kemudian juga sempat di Liga satu Indonesia, sampai akhirnya terakhir di Kelantan FC Malaysia, jadi kita optimis lah dengan kemampuan Natanael,” ujarnya.

Barito Putera ketika ini menduduki tangga ketujuh liga selepas 18 perlawanan dan mengumpul 25 mata, 13 mata di belakang pendahulu Borneo FC.

Natanael menyertai beberapa pemain Barito Putera yang pernah beraksi dalam saingan Liga Super.

Selain beliau, bekas bek tengah Kelantan, Carli de Murga dan bekas pemain perancang Terengganu FC, Makan Konate turut beraksi untuk pasukan itu.

Kelibat Natanael menyarung jersi Laskar Antasari bakal dilihat buat kali pertama apabila mereka turun menentang Persebaya pada 9 November ini.