Pengadil dari Malaysia, Nazmi Nasaruddin disahkan bakal mengadili aksi pusingan 16 Piala Asia 2023 melibatkan pasukan Uzbekistan melawan Thailand.
Perkara tersebut dimaklumkan di laman web rasmi AFC untuk aksi antara Uzbekistan dan Thailand pada 7.30 petang hari ini.
Nazmi Nasaruddin sebelum ini telah menjadi pengadil untuk aksi Vietnam bertemu Iraq di peringkat kumpulan Piala Asia.
Perlawanan ini bakal menjadi tugasan kedua Nazmi Nasaruddin dalam kejohanan berprestij Piala Asia 2023 setelah mempamerkan pengadilan yang berkualiti untuk aksi Vietnam melawan Iraq.
Selain Nazmi Nasaruddin, dua penolong pengadil iaitu Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid antara pengadil dari Malaysia yang diberikan peluang untuk mengadili perlawanan dalam kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar.
Malah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melaporkan pentas Piala Asia 2023 ini penting buat ketiga-tiga pengadil dari Malaysia untuk berada dalam senarai pendek pengadil dan penolong pengadil yang bakal dipilih menjalani kursus dan ujian bagi FIFA World Cup Candidate.
Jika ketiga-tiga pengadil ini melepasi semua syarat tersebut, mereka berpeluang menjadi pengadil untuk kejohanan Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.