Advertisements
Penyokong Vietnam Berpuas Hati Dengan Prestasi Pengadil Malaysia
Asia
MakanBola
FA Malaysia

Pengadil dari Malaysia, Muhammad Nazmi Nasaruddin mempersembahkan mutu pengadilan yang tinggi dalam aksi Iraq menentang Vietnam di Piala Asia 2023.

Walaupun keputusan perlawanan tidak berpihak kepada Vietnam setelah tewas tipis 2-3 kepada Iraq, rata-rata penyokong Vietnam berpuas hati dengan prestasi yang ditonjolkan pengadil dari Malaysia itu.

Beberapa penyokong Vietnam beranggapan keputusan pengadil adalah wajar dalam beberapa insiden yang terjadi dalam perlawanan tersebut.

“Pengadil tidak teruk cuma Vietnam tidak cukup kuat dalam perlawanan ini.”

“Pengadil normal, tiada masalah. Vietnam kalah kerana pertahanan tidak cukup pengalaman.”

“Keputusan yang betul oleh pengadil.” komen para penyokong Vietnam selepas tamat perlawanan.

Muhammad Nazmi Nasaruddin melayangkan kad merah kepada Khuat Van Khang yang telah mengutip dua kad kuning pada hujung babak pertama setelah pemain itu melakukan lompatan berbahaya kepada pemain Iraq.

Pengadil perlawanan juga memberikan sepakan penalti dua kali kepada Iraq setelah pertahanan Vietnam melakukan kekasaran dalam kawasan kotak penalti.

Aymen Hussein gagal menyempurnakan sepakan penalti pertama pada minit ke-82 namun pemain itu menebus kegagalan tersebut apabila menjaringkan gol untuk sepakan penalti kali kedua pada minit akhir babak kedua.

Gol penalti tersebut membantu Iraq menewaskan Vietnam yang bermain dengan 10 pemain dan Iraq mengakhiri aksi peringkat kumpulan dengan rekod 3 kemenangan berturut-turut.

Selain Muhammad Nazmi Nasaruddin selaku pengadil utama perlawanan, dua penolong pengadil iaitu Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid turut mengadili perlawanan tersebut.