Negara Ke-205 Dunia Cipta Kejutan Besar Di FIFA Series
MakanBola
Tanzania FF

Tanzania seakan tidak percaya apabila menjadi mangsa kejutan pasukan ke-205 dunia, Liechtenstein dalam saingan FIFA Series di Kigali, Rwanda.

Tanzania dilihat pilihan utama untuk FIFA Series Rwanda B disebabkan status sebagai pasukan ke-110 dunia.

Sementara tiga pasukan lain iaitu Aruba, Macau dan Liechtenstein pula masing-masing menduduki tangga ke-191, 193 dan 205 dunia.

Justeru, apabila Tanzania dan Liechtenstein bertemu di Stadium Kigali Pele, ramai peminat bola sepak menjangkakan anak buah Miguel Angel Gamondi itu akan meraih kemenangan selesa.

Sangkaan itu meleset apabila Ferhat Saglam meledakkan gol tunggal buat Blau-Rot pada separuh masa pertama. Keputusan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Liechtenstein akan menentang Aruba untuk aksi final pada 29 Mac. Tanzania pula akan menentang Macau untuk penentuan tempat ketiga.

Satu lagi pasukan Afrika, Kenya turut menjadi mangsa kejutan dalam saingan FIFA Series Rwanda A. Ini selepas pasukan itu tewas 5-4 kepada Estonia menerusi penentuan sepakan penalti.

Selain berjaya memenangi perlawanan menerusi penentuan sepakan penalti, Estonia yang menduduki tangga ke-129 dunia juga berjaya mengikat pasukan ke-113 dunia itu 1-1 dalam tempoh 90 minit.