Bintang Brazil, Neymar berdepan kemungkinan digantung 12 perlawanan dalam saingan liga negara itu.
The Sun melaporkan potensi itu timbul susulan komen yang dibuat penyerang berusia 34 tahun itu terhadap pengadil perlawanan, Savio Pereira Sampaio.
Neymar merasa marah kerana Sampaio melayangkan kad kuning kepadanya dalam aksi menentang Flamengo baru-baru ini.
Hal ini mendorong bekas bintang Al-Hilal itu mengeluarkan komen berikut, “Saya fikir beliau bangun seperti mereka kata, dalam keadaan haid dan menghadiri perlawanan dalam keadaan sebegitu.
“Anda tidak boleh bercakap dengannya tanpa beliau tidak menghiraukan anda, berpaling daripada anda,” katanya.
Komen Neymar itu mencetuskan rasa tidak puas hati ramai pihak di Brazil kerana dilihat memperlekeh kaum wanita. Sekiranya didapati bersalah, beliau bakal berdepan hukuman penggantungan 12 perlawanan.
Jika itu berlaku, Neymar bakal senasib dengan pemain pertahanan Red Bull Bragantino, Gustavo Marques.
Marques turut dikenakan hukuman serupa selepas mengeluarkan komen negatif terhadap pengadil wanita, Daiane Muniz.
Susulan itu, Red Bull Bragantino mengeluarkan satu kenyataan di mana mereka merasa amat kecewa dengan kenyataannya. Hal ini memaksa Marques memohon maaf atas tindakannya itu.
Hal ini juga dijangka menyukarkan Neymar merebut tempat dalam skuad Brazil ke Piala Dunia 2026.
Ini kerana jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti sudah mempunyai calon pemain yang akan dibawa untuk menghadapi kejohanan berprestij itu.