Pintu hati ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil sentiasa terbuka jika pihak pengurusan Selangor mahu membawa masuk pemain Indonesia pada masa akan datang.
Perkara tersebut diluahkan beliau ketika sesi sidang media selepas tamat perlawanan antara Selangor menentang Sabah dalam kejohanan RCTI Premium Sports di Jakarta.
Rekod cemerlang yang ditonjolkan pemain-pemain Indonesia ketika menyarung jersi Selangor menjadi penguat buat Nidzam Jamil untuk terus mempercayai bakat-bakat daripada negara jiran.
“Secara peribadi, Selangor ada kenangan manis dengan pemain-pemain Indonesia seperti Bambang Pamungkas, Elie Aiboy, Evan Dimas dan Andik Vermansyah.
“Jadi ini kenangan-kenangan manis kami dengan pemain Indonesia kerana mereka beri impak serta kesan yang besar kepada keputusan dan juga pada perasaan kami.
“Mereka sentiasa bekerja keras dan etika kerja mereka bagus. Seperti ada rasa kasih sayang sedikit antara pemain-pemain dari Indonesia dan Selangor kerana mereka memberi yang terbaik untuk kita.
“Jika kamu tanya saya sekarang saya rasa pasukan timnas berada dalam prestasi hebat. Sudah tentu jika pihak pengurusan membenarkan seorang (pemain Indonesia), apa salahnya.” ujar Nidzam Jamil.
Pasukan kendalian jurulatih berusia 44 tahun itu berjaya menewaskan Sabah 3-2 untuk melangkah ke perlawanan akhir kejohanan RCTI Premium Sports bertemu pasukan Persija Jakarta.