Tanpa khidmat penyerang negara, Luqman Hakim Shamsudin, Njardvik ditimpa kekalahan besar 7-2 di tangan Afturelding. Empat daripadanya disumbang oleh penyerang Iceland, Arnor Gauti Ragnarsson.
Njardvik terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Rafael Victor pada minit ke-10. Bagaimanapun, Afturelding kembali menyamakan kedudukan menerusi gol sendiri Marc McAusland.
Dari situ, Ragnarsson meledakkan dua gol pada minit ke-19 dan 29. Oumar Diouck cuba merapatkan kedudukan Njardvik menerusi gol kedua pada minit ke-34.
Tetapi bekas penyerang Honefoss itu memastikan kedudukan Afturelding terus selesa di hadapan menerusi gol pada minit ke-40 dan 51.
Oliver Bjerrum Jensen dan Elmar Kari Enesson Cogic memastikan malam gemilang tuan rumah dengan masing-masing menyumbat gol pada minit ke-60 dan 67.
Ini merupakan kekalahan ketiga Njardvik dalam tujuh perlawanan 1. Deild musim ini. Ini sekaligus meletakkan mereka pada kedudukan kesembilan liga.
Kemerosotan kelab itu perlu ditangani segera oleh duo pengurus, Bjarni Jóhannsson dan Hólmar Örn Rúnarsson. Dengan Njardvik juga tersingkir di pusingan 16 pasukan terbaik Piala Bola Sepak Lelaki Iceland, ini bakal meletakkan kedudukan Johannsson dan Runarsson dalam bahaya.
Selain kedudukan kelab yang menghampiri kelompok tercorot, Njardvik juga perlu menyelesaikan masalah menjaringkan gol. Ketika ini, mereka hanya menjaringkan sembilan gol dan dibolosi 15 kali.
Dengan Luqman masih menjalani latihan bersama skuad bawah 23 tahun negara, bisa penyerang pinjaman dari KV Kortrijk itu dijangka ditagih bagi menyelesaikan ketumpulan jentera serangan kelab itu.