Pemain Harimau Malaya yang kini beraksi di Finland, Nooa Laine berjaya meledak gol menarik buat pasukannya SJK Seinajoki dalam aksi Veikkausliiga menentang FC KTP semalam.
Gol menarik itu terhasil pada minit ke-49 perlawanan. Nooa yang menerima hantaran dari rakan sepasukannya tidak menunggu lama untuk melepas rembatan deras bak peluru ke arah gawang lawan sekali gus menjadikan kedudukan 2-1 pada ketika itu.
Namun begitu, gol Nooa itu masih belum cukup buat pasukannya apabila di akhir perlawanan, mereka tewas 2-3 kepada pasukan pelawat. Kekalahan itu merupakan kekalahan keempat buat pasukan SJK Seinajoki musim ini.
Sebelum perlawanan menentang FC OTP itu bermula, SJK Seinajoki berada di landasan yang tepat apabila berada di tangga kedua dan hanya dibezakan3 mata dibelakang pendahulu liga iaitu pasukan KuPS. Namun selepas kekalahan mengejut kepada FC OTP, SJK Seinajoki jatuh satu anak tangga ke kedudukan ketiga liga.
Dengan kemampuan Nooa menjaringkan gol, sudah tentu ianya akan menjadi salah satu aset terbaik pasukan Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon bagi menghadapi beberapa aksi antarabangsa selepas ini.