Advertising
Noor Al-Rawabdeh Kongsi Perkembangan Positif
MakanBola
Selangor FC

Proses pemulihan pemain tengah Selangor FC dari Jordan, Noor Al-Rawabdeh terus menunjukkan perkembangan positif.

Sebelum ini, pemain tengah berusia 27 tahun itu terpaksa berehat panjang kerana mengalami kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL). Kecederaan itu dialami dalam aksi Liga Super menentang PDRM FC pada 19 Oktober 2024.

Ad

Susulan itu, Noor perlu berehat lama bagi membantu proses pemulihannya. Meskipun berdepan prospek berehat panjang, bekas pemain Al-Faisaly itu berazam untuk kembali pulih dengan cepat.

Ad

Kini, Noor memaklumkan proses pemulihannya berjalan lancar dengan keadaan dirinya bertambah baik setiap hari.

“Saya dapat merasakan keadaan diri saya bertambah baik, dari hari ke hari. Kekuatan otot dan kestabilan saya semakin bertambah dan saya berharap dapat terus kembali ke tahap kecergasan penuh agar saya dapat kembali beraksi di padang mengikut masa yang telah ditetapkan,” katanya.

Ad

“Saya percaya, keadaan otot saya sekarang lebih kuat berbanding sebelum ini hasil daripada pelan pemulihan yang ditetapkan oleh Jabatan Sains Sukan Selangor FC.”

Ad

Noor turut percaya dengan sokongan semua pihak termasuk pasukan perubatan Merah Kuning, beliau dapat kembali bersama pasukan dan pulih dengan sempurna.

Ad

““Walau bagaimanapun, fasa seterusnya akan lebih mencabar kerana saya akan memulakan latihan asas joging dan berlari, fasa yang amat penting bagi mendapatkan semula keyakinan untuk beraksi.

“Dengan sokongan penuh daripada doktor dan ahli fisioterapi pasukan, saya harap dapat melepasi setiap fasa dengan sempurna dan kembali berlatih bersama rakan sepasukan yang lain,” tambahnya.

Noor mengakui bukan mudah mengharungi kecederaan ACL lebih-lebih lagi bila berjauhan dengan keluarga. Ini ditambah dengan hakikat ini kecederaan serius pertama dialami beliau dalam kariernya.

Pada masa sama, Noor turut bersyukur kerana ramai pihak sedia membantunya agar tabah mengharungi proses pemulihan yang ditetapkan.

““Berjauhan dengan keluarga dengan keadaan ini sedikit sebanyak sukar untuk saya, namun, saya amat bersyukur dapat sokongan yang cukup daripada kelab, rakan sepasukan dan orang sekeliling,” ujarnya.

“Mereka membantu saya untuk kekal bermotivasi tinggi, dan saya berazam untuk kembali lebih kuat, menyumbang kejayaan kepada pasukan, dan berpeluang membantu Jordan di Kelayakan Piala Dunia nanti.”

Sejak menyertai Selangor pada 2023, Noor merekodkan 44 penampilan, tujuh gol dan lima bantuan gol dalam semua kejohanan.