Persekutuan Bola Sepak Norway (NFF) menggesa Hadiah Keamanan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dimansuhkan.
Kenyataan itu dibuat Presiden NFF, Lisa Klaveness baru-baru ini. Peguam berusia 45 tahun itu melihat mandat anugerah itu patut diberi oleh badan-badan berautoriti seperti Institut Nobel.
Selain itu, Klaveness melihat anugerah tersebut berpotensi membawa risiko buruk kepada FIFA seandainya penerima anugerah berdepan tindakan undang-undang.
“Kami (NFF) mahu melihat (Hadiah Keamanan FIFA) dimansuhkan. Kami tidak fikir itu sebahagian daripada mandat FIFA untuk memberikan anugerah tersebut, kami fikir Institut Nobel sudah melakukan tugas itu dengan bebas.
“Kami fikir ini penting untuk persekutuan bola sepak, konfederasi bola sepak dan juga FIFA untuk mengelak situasi hubungan berkecuali dengan ketua-ketua negara dicabar.
“Dan anugerah-anugerah ini boleh saja menjadi isu politik jika anda tidak mempunyai pengalaman dan pilihan untuk menjadikan ia bebas seperti aspek penjurian dan kriteria,” katanya seperti dilaporkan The Independent.
Hadiah Keamanan FIFA dianugerahkan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum cabutan undi Piala Dunia 2026.
Walau bagaimanapun, kredibiliti Trump sebagai penerima anugerah dikecam ramai pihak susulan tindak-tanduk AS terhadap beberapa negara sejak kebelakangan ini.
Selain terlibat dengan konflik menentang Iran bersama Israel, AS juga telah melancarkan kepungan ke atas Cuba dan menculik Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.
Selaras dengan kenyataan itu, lembaga pengarah NFF dijangka turut menghantar surat menyokong syor siasatan dilancarkan berhubung cara penganugerahan Hadiah Keamanan FIFA.
Ini selepas sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, FairSquare mendakwa FIFA dan presiden badan induk itu, Gianni Infantino telah melanggar garis panduan etika mereka sendiri membabitkan anugerah itu.