Advertisement
Norza Zakaria Akur Dengan Nasihat Hannah Yeoh
UltraSukan
UltraSukan
Fina Nasrom

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria memilih kekal sebagai presiden badan induk badminton negara itu hari ini.

Keputusan ini diumumkan menerusi satu sidang media khas yang diadakan selepas mesyuarat Majlis BAM hari ini.

Norza menyatakan keputusan berkenaan dibuat selepas menimbang permintaan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh agar beliau kekal menerajui organisasi itu.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada YB Hannah (Yeoh) atas sokongan dan nasihat serta permintaan beliau yang mahu saya kekal sebagai Presiden BAM.

“Selepas membuat pertimbangan teliti dan maklum balas daripada Menteri Belia dan Sukan berkenaan perkara ini (perletakan jawatan sebagai Presiden BAM), selepas berbincang panjang lebar dengan semua ahli majlis, saya memutuskan untuk kekal sebagai Presiden BAM.

“Saya tidak memandang ringan keputusan ini dan hanya melakukannya selepas perbincangan mendalam dengan ahli-ahli majlis.

“Dan komitmen besar untuk mengekalkan kestabilan dan fokus semasa fasa kritikal membabitkan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris,” katanya dalam sidang media hari ini seperti yang dikongsikan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Keputusan ini sekaligus membatalkan keputusan Majlis BAM sebelumnya yang memilih Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai pengganti Norza pada Oktober lalu.