Nottingham Forest terus memantapkan struktur korporat mereka dengan membawa masuk Lina Souloukou sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baru.
Pelantikan bekas CEO AS Roma itu diumumkan menerusi satu kenyataan di laman sesawang rasmi pasukan itu.
“Nottingham Forest dengan sukacitanya ingin mengumumkan pelantikan Lina Souloukou sebagai CEO baru berkuatkuasa 5 Januari 2025.
“Souloukou yang juga bekas CEO AS Roma akan menyelia pembangunan strategik Forest dan merealisasikan visi jangka panjang kelab agar berjaya dalam Liga Perdana Inggeris dan pertandingan Eropah,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Souloukou cukup dikenali oleh pemilik Forest, Evangelos Marinakis. Ini kerana beliau pernah menggalas peranan sebagai penasihat undang-undang dan pengurus besar Olympiakos dari 2016 hingga 2023.
Souloukou kemudiannya dibawa masuk oleh pemilik AS Roma, The Friedkin Group sebagai CEO pada April 2023 sebelum meninggalkan kelab pada September lalu.
Marinakis percaya dengan kepakarannya dalam pengurusan bola sepak dan komitmen yang ditunjukkan, Souloukou mampu menjadi aset terbaru Forest.
“Kami amat gembira mengalu-alukan Lina Souloukou ke pasukan kita,” kata Marinakis yang juga pemilik Olympiakos dan Rio Ave.
“Rekodnya yang terbukti dalam pengurusan bola sepak, semangat dan komitmennya selari dengan visi kita untuk Nottingham Forest dan kumpulan (kelab) yang lebih besar tatkala kita berusaha untuk mendapatkan kejayaan lebih besar.”
Souloukou mengisi jawatan CEO yang kosong sejak peranan itu digalas Dane Murphy pada 2023. Selain Forest, beliau juga bakal menjadi rujukan Marinakis dalam usahanya mengembangkan portfolio pemilikan kelab bola sepak.
Ini kerana jutawan Greece itu dilaporkan mahu mendapatkan kelab gergasi Brazil, Vasco da Gama. Sekiranya pembelian itu menjadi kenyataan, tanggungjawab memantau kelab tersebut dijangka jatuh kepada Souloukou.
Forest menikmati kempen EPL yang positif di mana mereka kini menduduki tangga keempat dengan 31 mata. Selepas ini, mereka akan menentang Tottenham Hotspur di City Ground pada 26 Disember ini.