Advertisement
Nurillo Tukhtasinov Kekal Di Terengganu
Transfer
MakanBola
Terengganu FC

Penyokong Terengganu FC mendapat berita gembira apabila Nurillo Tukhtasinov kekal bersama pasukan Pantai Timur itu.

Berita ini diumumkan pengurusan Peteh menerusi satu kenyataan di platform media sosial rasmi mereka. Tukhtasinov kekal bersama Terengganu sehingga Disember 2025.

“Pemain tengah pasukan Terengganu FC, Nurillo Tukhtasinov pada hari ini telah menandatangani kontrak lanjutan untuk terus kekal bersama kelab ini sehingga Disember 2025.

“Pemain kelahiran Uzbekistan ini mengakui sebelum ini menerima beberapa tawaran dari kelab lain namun beliau memutuskan untuk terus setia bersama kelab ini untuk baki musim ini dan musim berikutnya,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Sejak Tukhtasinov menyertai Terengganu pada Julai 2023, beliau menjadi ayam tambatan pasukan itu di bahagian tengah. Ini terbukti dengan lima gol dan satu bantuan gol yang dicatatkan dalam 42 perlawanan bersama Peteh.

Bekas pemain Neftchi itu turut membantu Terengganu meraih tempat keenam liga dan muncul naib juara Piala Malaysia 2023.

Kudrat Tukhtasinov dijangka ditagih jurulatih interim Peteh, Badrul Afzan Razali untuk aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia. Ini selepas Terengganu mudah menewaskan pendahulu Liga A1 Semi-Pro, Melaka FC baru-baru ini.

Peteh memiliki kelebihan empat gol menerusi dua gol Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Alif Zakaria. Penyerang Ghana, Fuseini Issah menyumbat gol saguhati buat anak buah K. Devan.

Kedua-dua pasukan bakal berentap buat kali kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 29 November ini.