Aksi final bola sepak Sukan Olimpik Paris menyaksikan pingat emas akhirnya sah menjadi milik Sepanyol setelah menumpaskan tuan rumah, Perancis.
Sepanyol mara ke final setelah pamer kebangkitan dengan menewaskan Maghribi 2-1 sementara Perancis terpaksa mengharapkan gol lewat untuk menyingkirkan Mesir di separuh akhir.
Jurulatih Perancis, Thierry Henry mempertaruhkan pemain baharu Bayern Munich, Michael Olise di jentera serangan tatkala tonggak Barcelona, Eric Garcia memimpin benteng pertahanan Sepanyol.
Tuan rumah berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ke-11 hasil percubaan Enzo Millot yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol, Arnau Tenas dan terus menerjah ke gawang Sepanyol.
Tujuh minit kemudian, La Roja lantas bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi penyudah pemain tengah, Fermin Lopez yang menyambar hantaran lintang Alejandro Baena.
Dua jaringan pantas dalam masa 3 minit daripada Fermin Lopez pada minit ke-25 dan tendangan percuma Alejandro Baena pada minit ke-28 memastikan pelawat terus selesa memimpin aksi.
Separuh masa pertama, Perancis 1-0 Sepanyol.
Kembali dari rehat, Perancis berusaha memburu gol dan berpeluang menembusi kubu Sepanyol hasil percubaan Manuel Kone namun dinafikan palang dan ketangkasan Arnau Tenas.
Jaringan yang dicari akhirnya tiba buat Perancis apabila sepakan percuma Michael Olise terus menerjah gawang Sepanyol pada minit ke-79 untuk menceriakan penyokong tuan rumah.
Pada minit ke-91, pengadil memberikan sepakan penalti untuk Perancis apabila pemain Sepanyol menarik Arnaud Kalimuendo dan Philippe Mateta menyempurnakannya dengan mudah.
Aksi di Parc des Princes berakhir dengan keputusan seri 3-3 sepanjang 90 minit dan permainan diheret ke masa tambahan.
Sepanyol kembali di hadapan pada minit ke-100 menerusi ketenangan pemain gantian, Sergio Camello yang bijak menewaskan Guillaume Restes buat kali keempat dalam aksi ini.
Ketika permainan hampir menuju penamat, Sergio Camello muncul wira La Roja dengan gol kelima selepas melakukan satu serang balas pantas bagi mengecewakan Perancis di laman sendiri.
Keputusan 5-3 kekal sehingga aksi tamat menyaksikan pingat emas menjadi milik Sepanyol manakala Perancis berpuas hati dengan pingat perak.
Kali terakhir Sepanyol meraih pingat emas dalam acara bola sepak adalah pada edisi 1992 manakala penantian 40 tahun Perancis untuk mendapatkan pingat emas tampak berterusan.