Kelab gergasi Greece, Olympiacos memastikan kemaraan ke suku akhir UEFA Europa Conference League (UECL) musim 2023-2024 dengan membelasah kelab Israel, Maccabi Tel Aviv 6-1 baru-baru ini.
Selepas tewas 4-1 dalam aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik sebelum ini, pasukan yang dibimbing Jose Luis Mendilibar itu perlu bangkit jika ingin mara ke pusingan seterusnya.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi pemain sayap Portugal, Daniel Podence pada minit ke-10.
Podence kemudiannya mencipta nama sebagai pencipta gol dengan membantu kapten, Kostas Fortounis menyumbat gol kedua pada ke-36.
Penyerang Maghribi, Ayoub El Kaabi memastikan The Red-Whites mendahului 3-0 sehingga rehat menerusi gol pada minit ke-48.
Bersambung pada babak kedua, Tel Aviv yang dibimbing legenda Tottenham Hotspur, Robbie Keane menambah kelebihan agregat menerusi gol Eran Zahavi pada minit ke-57.
Bagaimanapun, El Kaabi memastikan kedua-dua pasukan terikat 5-5 dari segi agregat menerusi gol pada minit ke-65.
Dengan kedua-dua pasukan terikat 5-5 secara agregat selepas 90 minit perlawanan, perlawanan diheret ke masa tambahan.
Bekas penyerang Manchester City, Stevan Jovetic dan Youssef El Arabi memastikan Olympiacos layak dengan masing-masing menyumbat gol pada minit ke-93 dan 103.
Olympiacos bakal berdepan cabaran sukar di suku akhir UECL. Ini selepas mereka diundi menentang kelab gergasi Turki, Fenerbahce di pentas suku akhir.
Impak Fortounis dalam perlawanan turut diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.2 mata.