Lawan Harimau Malaya dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia, Oman mula membuat persiapan untuk saingan Piala Asia 2023.
Oman mengatur dua aksi persahabatan antarabangsa pra-kejohanan dengan kedua-dua perlawanan diadakan di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Oman yang diberi gelaran The Reds bakal menentang China untuk aksi persahabatan pertama pada 29 Disember ini.
Setelah itu, pasukan yang menduduki ranking ke-74 FIFA itu bakal berdepan pasukan serantau, UAE pada 6 Januari 2024.
Pengumuman dua perlawanan persahabatan itu diumumkan Persatuan Bola Sepak Oman (OFA) menerusi satu hantaran di laman media sosial mereka hari ini.
Oman bakal memulakan kempen Piala Asia 2023 dalam Kumpulan F dengan menentang negara jiran, Arab Saudi pada 16 Januari 2024.
Prestasi The Reds dalam Piala Asia 2023 bakal diperhatikan dengan teliti oleh ramai penyokong dan pemerhati bola sepak Harimau Malaya.
Ini disebabkan kedua-dua pasukan bakal bertemu dalam dua aksi kelayakan Piala Dunia pada Mac tahun hadapan.
Malaysia bakal bertandang ke Oman terlebih dahulu untuk aksi ketiga kelayakan Kumpulan D pada 21 Mac. Selepas itu, kedua-dua pasukan bakal beradu sekali lagi di Malaysia pada 26 Mac.