Selepas saingan Liga Super bersambung semula pada 31 Mac lalu, Sabah mengharungi tiga perlawanan di tempat lawan dengan hasilnya ialah dua kekalahan dan satu seri. Dan bagi jurulatih skuad Badak, Datuk Ong Kim Swee, hal ini memberi kesukaran kepada anak-anak buahnya.
Dua kekalahan yang direkodkan ialah kekalahan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City. Sementara keputusan seri 1-1 dicatat di Negeri Sembilan semalam dengan Park Tae-soo muncul penyelamat selepas Sabah pada satu ketika ketinggalan 1-0.
Atas sebab itulah, dua perlawanan seterusnya iaitu Kelantan United (pusingan kedua Piala FA pada 15 April) dan Kelantan (Liga Super pada 19 April) yang diadakan di Stadium Likas memberi kelegaan kepada bekas jurulatih Harimau Malaya itu.
“Iya, sudah tentu. Apabila kita berjauhan dari rumah, dah tentu banyak perkara yang kita perlu fikirkan selepas ini termasuk bermain pada lewat malam, latihan dan jurang masa yang agak panjang apabila kita berada di tempat penginapan.
“Mungkin ini satu faktor yang kita perlu fikirkan. Selepas ini, apabila kita bermain di tempat lawan, (tempohnya) tidak lagi terlalu lama bagi mengekalkan momentum kita,” katanya kepada Astro Arena selepas perlawanan semalam.
Seperti beberapa perlawanan lain, Sabah dihidangkan dengan pelbagai deretan peluang menembusi gawang skuad Jang yang dikawal Sikh Izhan Nazrel. Tetapi malangnya, ia gagal menemui sasaran atau dalam kes Baddrol Bakhtiar, palang menjadi penghalang buatnya menjaringkan gol.
Hal ini turut diakui oleh Kim Swee dan perlu ditangani dengan segera. Ini kerana ia boleh saja menjadi penentu sama ada Sabah meraih kemenangan atau kekalahan terutama di tempat lawan.
“Iya, kita banyak mensia-siakan peluang. (Seperti) bermain dengan Kuala Lumpur (City) juga yang sama, kita mencipta banyak peluang tetapi gagal menyempurnakannya.
“Kita mendapat akhirnya (gol Tae-soo) melalui kesungguhan para pemain. Dan ini penting bagi saya, walaupun hanya dapat satu mata, ini dapat menambah kembali keyakinan kepada Sabah dalam perlawanan-perlawanan akan datang,” tambahnya.