Ong Kim Swee ‘Kembali’ Ke Sabah
MakanBola
Sabah FC

Kehadiran bekas pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dalam sesi latihan pasukan itu mencuri perhatian penyokong baru-baru ini.

Kelibat Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan (NFDP) itu dikongsikan pengurusan Sang Badak menerusi satu hantaran di semua platform rasmi pasukan itu.

“Lihat siapa yang hadir dalam sesi latihan? Gembira melihat anda, Coach Ong!” kata kelab dalam satu kenyataan.

Kim Swee hadir untuk melihat sesi latihan Sang Badak yang dikendalikan rakan lama dan jurulatih baharu pasukan itu dari Sepanyol, Juan Torres Garrido.

Kedua-duanya saling mengenali kerana pernah bekerjasama semasa berada di kelab Persis Solo pada musim 2024/25. Garrido pada ketika itu memikul peranan sebagai pembantu Kim Swee.

Ramai penyokong Sabah teruja melihat beliau kembali. Hanafe Hanafe menulis komen ini, “Selamat kembali DOKS (Datuk Ong Kim Swee) ke Sabah FC.”

Seorang lagi penyokong bernama Francis Koh percaya Kim Swee hadir untuk memberi suntikan semangat kepada Sabah untuk baki kempen musim ini. Ini termasuk final kedua MFL Challenge Cup.

“Kunjungan DOKS (Datuk Ong Kim Swee) sudah pasti ada kata-kata ajaib diberikan kepada The Rhinos untuk perlawanan akhir MFL Challenge Cup. Terima kasih Datuk kerana tidak lupa dengan Sabah,” ujarnya di ruang komen Facebook.

Bekas jurulatih Persik Kediri itu juga dilihat berbual dengan bek tengah Brazil, Gabriel Peres dan pengurus pasukan, Mohd Arziz Afizy.

Selain memberi sokongan kepada skuad Sang Badak, Kim Swee juga berkemungkinan meninjau prospek muda terbaru pasukan itu.

Ini bersesuaian dengan kapasiti beliau sebagai Pengarah Teknikal NFDP untuk mencari lebih ramai bakat baru masa depan demi bola sepak negara.