Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee menghela nafas lega melihat gawang pasukan tidak dibolosi ketika bertemu Penang dalam aksi Liga Super pada Jumaat.
Pada aksi tersebut, 4 gol memukau masing-masing daripada Saddil Ramdani, Gabriel Peres, Stuart Wilkin dan Dominic Tan memastikan Sabah pulang dengan tiga mata dari gelanggang Penang.
Menurut Ong Kim Swee, beliau nyata begitu gembira dengan kemenangan yang diraih di tempat lawan ini dan memuji setiap jaringan yang dilakukan anak-anak buahnya.
”Apa yang penting di sini adalah kita mendapatkan tiga mata dan sudah tentu gol-gol yang kita jaringkan amat penting,” kata beliau kepada Astro Arena.
Di sebalik kemenangan 4-0 ini, Kim Swee melihat disiplin bertahan para pemainnya kali ini sebagai satu perkara positif yang telah lama dinantikan meskipun mendahului dengan jurang besar
”Bagi saya, perkara yang paling positif pada aksi ini adalah kita tidak dibolosi, di mana ini adalah perkara yang cukup lama kita tak lakukan,” ujar jurulatih kelahiran Melaka ini
”Kali ini walaupun mendahului dengan tiga gol pada separuh masa pertama, tetapi kita mengekalkan disiplin terutamanya dari segi bertahan,” jelas beliau lagi.
Kemenangan di Stadium Bandaraya ini membantu Sabah melonjak ke tangga ketiga Liga Super buat masa ini dengan 20 mata, sekaligus menolak Terengganu ke tempat keempat.
Aksi Liga Super seterusnya buat Sabah adalah menentang Kedah di Stadium Likas pada 29 Oktober sebelum melayani kunjungan Kelantan Darul Naim lima hari kemudian.