Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee percaya pemain sayap Indonesia, Saddil Ramdani mampu beraksi di peringkat lebih tinggi dan tidak hanya di Asia Tenggara.
Sejak menyertai skuad Badak pada tahun 2021, Saddil sudah menjadi antara tonggak utama pasukan itu dalam semua kejohanan termasuk Piala AFC musim 2023/24.
Buktinya, Saddil merekodkan 66 penampilan, 15 gol dan 25 bantuan gol untuk Sabah FC berdasarkan data terkini Transfermarkt.
Namun begitu, Kim Swee melihat masih ada potensi yang dimiliki pemain sayap berusia 25 tahun itu yang mampu direalisasikan di atas padang.
Ini kerana Saddil seorang pemain yang sensitif tetapi pada masa sama memiliki niat yang baik. Keadaan ini menyebabkan beliau dan Kim Swee kadang-kadang bertegang urat.
Pada akhirnya, Saddil memahami apa yang dimahukan bekas pengendali Harimau Malaya itu merupakan yang terbaik bukan saja buat dirinya tetapi juga untuk pasukan.
Atas sebab itu, Kim Swee percaya sekiranya bekas pemain Bhayangkara itu terus belajar dan menerima segala kritikan yang timbul, potensi yang dimiliki Saddil bakal lebih menyerlah selepas ini.
“Saddil ini begitu sensitif tetapi mempunyai niat yang cukup baik. Sensitif dari segi apabila kita meletakkan syarat-syarat tertentu di mana kemungkinan dia ingin lebih bebas.
“Tetapi kita harus faham. Sensitif tetapi untuk memperbaiki, untuk mempunyai niat yang baik. Tetapi bukan sensitif tetapi mempunyai niat yang tidak baik, itu perbezaan dia.
“Bagi saya, Saddil boleh menerima (kritikan). Ada masanya saya bertegang urat dengan Saddil tetapi beliau faham. Seperti yang saya katakan, pemain-pemain muda ini kita harus bimbing mereka. Dan yang penting, mereka harus belajar dan harus terima.
“Kalau Saddil dibiarkan begitu, saya percaya ini akan menyukarkan karier beliau. Di mana dia punya potensi beraksi bukan saja di Asia Tenggara tetapi saya percaya Saddil juga boleh beraksi di peringkat lebih tinggi,” katanya dalam temubual bersama GOAL Indonesia baru-baru ini.
Saddil terus mendapat kepercayaan Kim Swee apabila diturunkan untuk aksi pembukaan liga membabitkan Sabah dan Penang FC baru-baru ini.