Advertisement
“Orang Gila Sahaja Berani Ambil Kelantan” – Zamsaham
Liga Super
MakanBola
Kelantan FC

Di bawah pemilikan usahawan terkenal Norizam Tukiman, pasukan Kelantan kini berada pada kedudukan yang kukuh. Tetapi bila mengenang semula usaha pengambilalihan The Red Warriors yang dimuktamadkan pada 3 September 2020, beliau menyifatkan hanya orang gila yang berani ambil pasukan berkenaan.

Menurut Norizam, sebelum Kelantan diambil alih olehnya, pasukan tersebut bukan saja berdepan masalah hutang yang melampau. Malah, kelab itu juga berdepan sekatan perpindahan FIFA selepas gagal melangsaikan bayaran gaji dan pampasan pemain import.

Disebabkan itu, apabila beliau mengumumkan hasrat mengambilalih The Red Warriors, ramai tidak mempercayainya dan menganggap Norizam hanya bergurau. Ini kerana pelaburan ke atas pasukan yang bermasalah seperti itu dianggap kerja sia-sia.

“Hanya orang gila sahaja berani ambik pasukan Kelantan FC pada ketika Kelantan FC hampir pasti tiada di Liga Malaysia. Bukan sahaja hutang, tetapi masalah sekatan perpindahan FIFA yang sangat membebankan.

“Hampir semua orang keliling saya. Tak percaya akan niat saya. Saya beli dengan nilai RM6.8 juta di mana RM3.8 juta adalah pinjaman saya ke KAFA yang perlu dibayar balik hanya RM200,000 sahaja setahun. Kena tunggu 15 tahun baru saya dapat balik duit ni. Lama, kan?

“Belum kos perbelajaan berjuta yang dikeluarkan dari 2020 hingga Mei 2022 di mana stadium tutup masa itu PKP Covid-19,” luahnya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Norizam mengakui sebagai ahli perniagaan, adatlah baginya untuk mendapatkan keuntungan bagi setiap pelaburan yang diusahakan. Tetapi ini bukan sesuatu yang mudah dalam industri bola sepak dengan pulangan kadang-kadang mengambil masa lama untuk direalisasikan.

“Ada orang kata saya ahli perniagaan. Ya benar, saya orang niaga Nak untung. Benar semua orang niaga nak untung, tapi siapa sanggup bersusah payah dan ambik risiko gila di dunia bola sepak Malaysia. Berapa lama nak dapat hasil.

“Cuba fikir balik kenapa tiada orang berniaga di Kelantan dan Malaysia yang benar-benar jujur ambil alih Kelantan FC. Ada tiga orang yang bida nak beli termasuk Wan Kamal Wan Napi. Tetapi semua tak jadi.

“Semua undur diri. Kenapa? Saya tak tahu kenapa mereka undur diri. Yang pasti mereka tak jadi. Kelantan FC hampir pasti akan muflis. Anda tahu hal ini. Hampir pasti tiada penyelamat sehinggalah saya tawarkan diri,” tambahnya.

Kini, dengan pasukan sudah bebas daripada masalah kewangan, Norizam kini memasang matlamat jangka panjang pasukan termasuk pusat latihan dan pesawat rasmi untuk The Red Warriors.

Walaupun ada yang memandang sepi cita-cita beliau itu, Norizam tidak peduli. Ini kerana yang untung pada akhirnya bukan saja pasukan tetapi para penyokong yang menjadi pemain ke-12 Kelantan.