Penyokong kini mula meragukan kemampuan jurulatih Sabah FC namun pemain sayap sensasi, Saddil Ramdani melabelnya genius dan luar biasa.
Perkongsian ini dibuat dalam satu sesi audio siar Stef It Up berkenaan kemampuan pasukan The Rhinos ketika ini.
Semuanya bermula apabila Sabah tunduk dengan agregat 8-0 di tangan Terengganu FC pada aksi suku akhir Piala FA 2024.
Penyokong Sabah dilihat mula merasa risau dengan prestasi pasukan terutamanya dengan kehilangan tonggak berbisa, Ramon Machado.
“Adakah orang-orang mula meragukan kemampuan pemain lain. Pemain bola sepak datang dan pergi, tetapi saya tetap percaya dengan pemain lain.
“Akan tetapi, saya lebih percaya dengan pemain yang terus berjuang sehingga kini dan tidak meninggalkan pasukan di saat kita seperti ini,” ujarnya.
Pemain kelahiran Muna, Indonesia ini bagaimanapun yakin perjuangan pasukan tetap utuh walaupun kehilangan seorang pemain.
Beliau juga hairan apabila penyokong mula meragukan kemampuan Datuk Ong Kim Swee tatkala beliau melabel jurulatih itu sebagai genius.
“Orang-orang komen seperti meragui kemampuan jurulatih kita, jurulatih kita (Ong Kim Swee) itu luar biasa dan genius.
“Beliau sangat mengetahui kemampuan sebenar para pemain Sabah FC,” ujar Saddil Ramdani dalam audio siar tersebut.
Sabah akan melayan kunjungan JDT bagi aksi ke-5 Liga Super 2024 di Likas pada 13 Julai 2024.