Leong Jun Hao memulakan saingan Orleans Masters 2024 dengan langkah kiri selepas tumpas kepada wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin pada pusingan pertama kejohanan.
Aksi yang berlangsung di gelanggang empat itu menyaksikan penguasaan gelanggang penuh yang ditampilkan pemain negara itu sehingga jauh mendahului lawan 9-3.
Namun, kesilapan demi kesilapan membiarkan lawan mendapatkan mata menyebabkan pemain Korea Selatan itu bangkit meraih lapan mata secara berturut untuk meninggalkan Jun Hao 11-9 ketika interval.
Jun Hao yang turun sebagai pilihan keempat kejohanan bagaimanapun mempamerkan semangat membara untuk mengikat kedudukan 14-14 dan terus mengakhiri set pertama dengan keputusan 21-17.
Bersambung set kedua, Hyeok Jin yang berada di ranking ke-51 dunia tampil lebih agresif dengan beberapa pukulan yang berjaya memerangkap Jun Hao.
Pemain Korea Selatan itu tidak memerlukan masa yang lama untuk merampas set kedua dengan keputusan 21-8 sekaligus mengheret Jun Hao ke aksi penentuan.
Di set penentuan, kedua-dua pemain saling mengejar mata di awal permainan, namun Jun Hao seakan hilang fokus lalu membiarkan Hyeok Jin mendahului 11-5 di interval.
Wakil Korea Selatan itu terus garang meraih mata meskipun sempat dikejar Jun Hao di pertengahan permainan. Namun, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu terpaksa akur tunduk di set ketiga.
Tamat aksi, Leong Jun Hao tumpas dengan keputusan 21-17, 8-21, 17-21.
Kemenangan ini menyaksikan Jeon Hyeok Jin mara ke pusingan kedua pada Khamis dan akan berdepan satu lagi wakil negara, Cheam June Wei atau Misha Zilberman.