Pengendali PDRM FC, P. Maniam mengakui gembira kerana berjaya membawa pulang satu mata dari Kuala Terengganu baru-baru ini.
Aksi terbaru Liga Super menemukan The Cops dan Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 4 Oktober lalu.
Peteh menyangka dapat menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan menerusi gol sulung Nelson Bonilla. Walau bagaimanapun, Chidi Osuchukwu memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata menerusi gol pada separuh masa kedua.
Maniam mengakui bukan mudah untuk bertandang ke SSMZA untuk mendapatkan mata. Ini kerana Terengganu bukan saja memiliki kemahiran teknikal bola sepak yang baik.
Malah, pasukan itu turut dibarisi ramai pemain berkualiti termasuk kapten, Safawi Rasid dan pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid.
Atas sebab itu, Maniam merasakan keputusan seri 1-1 dilihat satu keputusan yang cukup bagus buat The Cops sebelum tempoh rehat antarabangsa.
“Keputusan yang baik lawan Terengganu di tempat lawan. Bukan senang nak main Terengganu di sini. Mereka amat bagus dengan bola, mereka memiliki ramai pemain berkualiti.
“Dan dalam bola sepak, perkara ini berlaku. Jadi, mereka pasukan yang bagus tetapi kita berjaya mencuri satu mata untuk dibawa pulang,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.
Maniam turut bangga melihat pasukannya mempamerkan semangat juang yang tinggi ketika ketinggalan 1-0. Beliau melihat ini bukti PDRM memiliki kualiti untuk mencabar semua pasukan dalam liga.
“Sebab pasukan PDRM ada kualiti, baik pemain-pemain import mahupun pemain-pemain tempatan. Mereka ada kualiti untuk menjaringkan gol. Saya rasa kalau Ifedayo (Olusegun) dapat bermain, kita mungkin dapat kemenangan, saya tak tahu.
“Apa yang saya lihat daripada pasukan ini ialah kualiti untuk menjaringkan gol dan bangkit daripada ketinggalan. Tapi pada masa sama, ada perkara yang perlu diperbaiki juga,” ujarnya.
Keputusan ini menyaksikan PDRM berada di tangga kelima liga dengan 15 mata, dua mata di belakang Peteh.
Selepas ini, The Cops bakal melayan kunjungan naib juara liga musim 2023, Selangor FC di Stadium Selayang pada 19 Oktober ini.