“Panggilan Harimau Malaya Ini Amat Bermakna” – Feroz Baharudin
MakanBola
MALAYSIA NT

Bintang pertahanan muda JDT, Feroz Baharudin, meluahkan rasa syukur selepas dipanggil menyertai kem Harimau Malaya untuk aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 di Vietnam.

Kali terakhir Feroz Baharudin ke kem Harimau Malaya sebelum kecederaan panjang adalah pada November 2024, ketika perlawanan persahabatan menentang Laos.

Beliau telah menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan bersama kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), dengan mengumpul 489 minit permainan dalam 9 perlawanan merangkumi tiga kejohanan utama, iaitu Liga Super, Piala Malaysia, dan Shopee Cup.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau berjaya membantu pasukan mencatatkan 8 kemenangan dan satu keputusan seri, menunjukkan konsistensi dan kehandalannya di setiap perlawanan.

Keupayaan beliau mengukuhkan pertahanan Harimau Selatan terbukti meskipun berdepan dengan cabaran sengit daripada pemain import yang berpengalaman.

Prestasi ini sekaligus membuktikan kredibiliti beliau sebagai tonggak utama di bahagian pertahanan pasukan, menjadikan dirinya aset penting kepada kelab dan negara.

Menurut Feroz Baharudin, selepas hampir setahun berehat daripada aksi kompetitif, peluang kali ini amat bermakna buat saya. Ia menjadi medan untuk membuktikan kemampuan, menghadapi cabaran dengan keyakinan, serta menampilkan prestasi terbaik demi pasukan dan negara.

“Saya merasakan panggilan ini amat bermakna buat diri saya kerana selepas hampir setahun tidak beraksi, ini merupakan peluang terbaik untuk saya membuktikan kemampuan kepada jurulatih. Saya berazam untuk memberikan persembahan terbaik demi negara.”

“Sepanjang tempoh pemulihan, banyak cabaran yang perlu saya lalui dan bukan mudah untuk kembali ke tahap sekarang dengan prestasi yang semakin baik. Oleh itu, saya perlu sentiasa berhati-hati dan membuat persediaan rapi, terutamanya dari segi pemanasan badan serta memastikan konsistensi sebelum perlawanan,” katanya dalam satu video yang dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada media, hari ini.

Feroz Baharudin dan Harimau Malaya masih berbaki satu perlawanan dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 ini apabila bakal terbang ke Nam Dinh untuk turun menentang Vietnam pada 31 Mac 2026.