Legenda AC Milan, Paolo Maldini memilih meninggalkan Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) meskipun baru memikul tugas sebagai pengarah teknikal badan induk itu selama 10 hari.
Keputusan mengejut legenda Itali itu dikongsikan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano. Selain Maldini, seorang lagi legenda AC Milan, Leonardo turut mengambil tindakan sama selaku penasihat kepada bekas rakan sepasukannya itu.
Keputusan drastik itu diambil susulan keputusan FIGC menolak cadangan mereka untuk membawa masuk legenda Itali, Andrea Pirlo sebagai jurulatih baharu pasukan itu.
Pirlo menjadi pilihan Maldini untuk mengisi kerusi panas yang ditinggalkan rakan senegara, Gennaro Gattuso pada April lalu. Gattuso memilih berundur sebagai mengambil tanggungjawab gagal membawa Itali layak ke Piala Dunia.
Meskipun begitu, beberapa ahli politik Itali menggesa FIGC mempertimbangkan semula pemilihan Pirlo sebagai pengganti legenda AC Milan itu.
Mereka melihat status Pirlo sebagai duta syarikat perjudian Russia dilihat satu halangan buat beliau memimpin Azzurri di peringkat antarabangsa. Nama Russia terjejas di Eropah susulan tindakan negara itu menceroboh Ukraine pada 2022.
Selain Pirlo, FIGC juga menimbang mendapatkan Pep Guardiola dan Carlo Ancelotti sebagai pengganti Gattuso. Meskipun begitu, Guardiola menolak atas faktor peribadi dengan Ancelotti memilih kekal komited bersama Brazil.
Susulan itu, bekas pengurus Manchester City, Roberto Mancini dan bekas pengurus Chelsea, Antonio Conte mula disebut-sebut sebagai calon pengganti Gattuso.