Pengendali Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Park Jae-hong sedia berkorban demi membantu pasukan itu kembali meraih keputusan positif di atas padang.
Sejak meraih kemenangan ke atas PDRM FC pada 23 Jun lalu, pasukan itu bergelut merekodkan prestasi memberangsangkan dalam liga.
Terbaru, Kelantan DN terpaksa akur apabila tewas 2-0 kepada Selangor FC dalam aksi terbaru liga di Stadium MBPJ pada 10 Ogos lalu. Dua gol Merah Kuning disumbang oleh Ronnie Fernandez.
Ini kekalahan ketujuh skuad Kijang Emas dalam liga selepas lapan perlawanan – satu perkara yang meresahkan penyokong pasukan itu.
Meskipun begitu, Jae-hong percaya dengan mentaliti yang dipamerkan anak buahnya dalam aksi berkenaan, Kelantan DN mampu bangkit dan kembali mencatat kemenangan.
Jurulatih Korea Selatan itu turut menyatakan kesediaannya untuk berkorban demi membantu Kelantan DN meraih keputusan positif.
“Saya sedia berkorban segalanya untuk membantu Kelantan kembali mendapat keputusan positif. Kita mungkin tewas kepada Selangor hari ini.
“Tetapi jika pemain meneruskan mentaliti yang mereka ada sekarang, saya yakin kita akan mendapat keputusan positif tidak lama lagi,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan yang disiarkan di Nadi Arena.
Selepas ini, Kelantan DN bakal berhadapan wakil Borneo, Kuching City FC untuk aksi liga seterusnya pada 17 Ogos ini.