Advertisements
Pasukan Hoki Malaysia Kini Dibubar
UltraSukan
UltraSukan
FIH

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) membuat kejutan dengan mengumumkan pembubaran skuad hoki senior dan remaja lelaki.

Keputusan itu diumumkan Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal dalam sidang media yang diadakan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.

Subahan turut memaklumkan kontrak barisan kejurulatihan bagi kedua-dua pasukan sudah tamat.

Skuad hoki kebangsaan bakal tampil dengan wajah baru selepas tamat kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) musim 2024.

“Saya nak maklumkan selepas berbincang dengan Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan dan Jawatankuasa Kejurulatihan, kita memang sudah bubarkan pasukan senior lelaki dan remaja lelaki.

“Maksudnya semua pemain kembali beraksi dengan kelab mereka dalam saingan liga yang akan bermula tidak lama lagi.

“Jadi, tiada pasukan kebangsaan buat masa sekarang ini. Kita akan bina semula pasukan baharu selepas tamat saingan liga nanti,” katanya.

Skuad hoki lelaki kebangsaan gagal mencapai objektif layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis selepas gagal memenangi pingat emas di Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China.

Skuad negara menamatkan kempen Sukan Asia 2023 di tempat keenam. Usaha pasukan yang diberi jolokan The Speedy Tigers itu untuk layak menerusi pusingan kelayakan Sukan Olimpik di Valencia, Sepanyol baru-baru ini juga berakhir dengan kegagalan.

Ini selepas skuad hoki senior lelaki negara hanya berjaya menamatkan kempen kelayakan di tempat kelima.

Sementara skuad hoki remaja lelaki pula menamatkan kempen Piala Dunia Remaja 2023 di tempat ke-12.