Saingan FIFA Series menyaksikan New Zealand mencipta kejutan dengan membelasah pasukan ke-55 dunia, Chile 4-1.
FIFA Series di New Zealand menyaksikan tuan rumah berdepan cabaran Chile, Cape Verde dan Finland. Selepas tewas 2-0 kepada Finland, anak buah Darren Bazeley berazam untuk bangkit bila menentang Chile.
Kosta Barbarouses membuka tirai jaringan buat All Whites pada minit ke-31. Sembilan minit selepas itu, giliran Elijah Just pula merobek gawang pasukan La Roja itu.
Selepas mendahului 2-0 sehingga rehat, New Zealand terus menggandakan asakan untuk memburu jaringan tambahan.
Jesse Randall dan Ben Waine masing-masing menambah derita pasukan Amerika Selatan itu dengan gol pada minit ke-60 dan 71.
Penyerang Sao Paulo, Gonzalo Tapia menyumbat gol saguhati buat Chile pada minit ke-83. Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Ini dilihat satu pencapaian hebat buat New Zealand kerana dari segi ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), mereka menduduki tangga ke-85.
Walau bagaimanapun, All Whites gagal meraih gelaran juara FIFA Series. Ini kerana mereka menamatkan kedudukan di tempat kedua dengan tiga mata.
Gelaran juara FIFA Series milik Finland yang mengumpul empat mata. Meskipun tewas kepada Cape Verde menerusi penentuan penalti, keputusan seri dalam tempoh 90 tahun sudah cukup untuk membantu pasukan itu bergelar juara.