Pasukan Muda Negeri Sembilan Bakal Peroleh Venue Baru
MakanBola
Faliq Firdaus

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus membawa berita gembira buat skuad muda Rusa.

Beliau memaklumkan skuad Negeri Sembilan Bawah 18 Tahun (B-18) bakal menggunakan Stadium Mini Kuala Pilah sebagai gelanggang tuan rumah mereka.

Ini merupakan sebahagian daripada jalinan kerjasama antara pengurusan skuad Rusa dengan Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP).

Ini selepas gawang yang mengikut piawaian kebangsaan telah dipasang di stadium itu. Sekiranya stadium tersebut mendapat kelulusan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), skuad muda Negeri Sembilan dapat menggunakan stadium tersebut bermula pada Julai ini.

“Pemasangan tiang-tiang gol baru mengikut piawaian kebangsaan di Kuala Pilah. Insya Allah Stadium Mini Kuala Pilah akan menjadi gelanggang tuan rumah Negeri Sembilan FC B-18 bermula Julai ini, tertakluk kepada pemeriksaan oleh FAM,” katanya di X.

Faliq turut mendedahkan pengurusan Negeri Sembilan bakal memasang tiang gol baru di Stadium Mini Rembau.

Buat masa ini, perancangan itu perlu ditangguhkan ke tahun 2025 disebabkan stadium itu sedang menjalani proses penaiktarafan.

“2025 baru boleh buat di Rembau, tahun ini mereka tengah jalani (proses) penaiktarafan,” tambahnya.

Skuad Negeri Sembilan B-18 bersaing dalam saingan Piala Belia 2024. Ketika ini, pasukan itu menduduki tempat keenam Kumpulan A Piala Belia 2024 dengan 12 mata.