Advertisement
Pau Marti Enggan Pandang Mudah Cabaran Kemboja
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente enggan memandang rendah cabaran Kemboja menjelang aksi pertama Kumpulan A Piala Mitsubishi Electric ASEAN (PMEA) 2024.

Rekod pertemuan lalu dilihat memberi kelebihan kepada Malaysia. Ini selepas Angkor Warriors tewas sebanyak 15 kali kepada Harimau Malaya daripada 18 pertemuan sebelumnya.

Ini termasuk kemenangan 4-0 ke atas Kemboja dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 12 September 2022. Faisal Halim, Lee Tuck dan Stuart Wilkin mencetak nama sebagai penjaring.

Meskipun rekod silam dilihat memihak kepada Harimau Malaya, Pau Marti enggan memandang enteng cabaran Angkor Warriors. Ini kerana pasukan itu kini dilatih pengendali interim dari Jepun, Koji Gyotoku.

Selain itu, Angkor Warriors turut diperkuatkan dengan kehadiran enam pemain naturalisasi termasuk dua pemain Phnom Penh Crown, Yudai Ogawa dan Andres Nieto.

Pau Marti percaya Kemboja akan memberi cabaran hebat apabila kedua-dua pasukan bertemu nanti. Atas sebab itu, beliau mahu Harimau Malaya berada pada prestasi terbaik untuk meraih tiga mata penuh.

“Ya, macam kita katakan aksi menentang Kemboja satu aksi yang mencabar. Kemboja tidak beraksi dalam perlawanan rasmi tetingkap terakhir kalendar antarabangsa FIFA.

“Mereka pergi ke Qatar untuk menempuh aksi persahabatan di sana. Jadi, kita tidak banyak maklumat tentang perkara itu. Dan baru-baru ini, mereka juga telah menukar jurulatih baru dua bulan yang lalu.

“Dan mereka ada tiga pemain baru (naturalisasi) yang belum pernah beraksi untuk pasukan itu. Jadi, apabila kita sampai ke sana, kita akan tahu. Perlawanan sudah pasti lebih sukar daripada sebelum ini dan kita beraksi di tempat lawan, kita perlu pamer aksi terbaik,” katanya dalam sidang media semalam.

Skuad kali ini menyaksikan gabungan pemain muda dan berpengalaman seperti Paulo Josue, Harith Haikal Adam Afkar, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, G. Pavithran, Daryl Sham K.K George dan Haykal Danish Mohd Haizon.

Malaysia bakal berdepan Kemboja di Phnom Penh untuk aksi pertama Kumpulan B pada 8 Disember ini.