Advertisement
Pau Marti Panggil 3 ‘Ubi Muda’ JDT & Selangor Perkuat Harimau Malaya
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya memanggil 3 tonggak muda dari pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) serta Selangor bagi memperkuat skuad negara ke Asean Mitsubishi Electric Cup (AMEC) 2024.

Minggu lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan senarai 26 pemain yang bakal menggalas cabaran negara di kejohanan AMEC yang bakal bermula Ahad ini.

Senarai pemain tersebut mencuri tumpuan ramai apabila Pau Marti memanggil gabungan tonggak berpengalaman seperti Paulo Josue dan pemain muda iaitu Muhammad Abu Khalil serta Daryl Sham.

Menerusi satu kenyataan pada Khamis, 3 pemain muda iaitu Harith Haiqal dan Haykal Danish dari pasukan Selangor serta penjaga gol JDT III, Haziq Aiman dipanggil bagi memperkuat pasukan.

“Pemain pertahanan Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar dan penjaga gol Johor Darul Ta’zim II, Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa telah dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti bagi menyertai kem skuad Harimau Malaya ke Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025.”

Harith Haiqal dan Haziq Aiman masing-masing bakal mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan oleh Harith Samsuri dan Rahadiazli yang mengalami kecederaan.

“Harith Haiqal, 22, menggantikan pemain Negeri Sembilan FC, Muhammad Harith Samsuri, 24, yang mengalami kecederaan,” ujar FAM dalam satu kenyataan.

“Haziq Aiman, pula menggantikan penjaga gol Terengganu FC, Muhammad Rahadiazli Rahalim, 23, kerana masalah kesihatan.”

Manakala, Haykal Danish yang merupakan kapten pasukan muda Selangor bakal menyertai pasukan sekiranya berlaku kecemasan yang melibatkan pemain-pemain sedia ada.

“Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon, 19, dari Selangor FC B-23 turut dipanggil menyertai kem skuad Harimau Malaya sebagai pemain tambahan jika berlaku kecederaan atau sebarang kemungkinan ke atas pemain-pemain lain.”

Untuk makluman, senarai akhir 26 pemain untuk didaftarkan bagi kempen AMEC hanya akan dimuktamad pada Sabtu, 7 Disember 2024, sehari sebelum aksi pertama Kemboja.