Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menyifatkan kekalahan 4-0 kepada New Zealand banyak memberi pengajaran kepada pasukan itu.
Malaysia dan All Whites berentap di Stadium North Harbour, Auckland untuk aksi persahabatan antarabangsa pertama sejak tahun 2006.
Selepas berjaya merantai pasukan Oceania itu pada babak pertama, New Zealand yang dibimbing Darren Bazeley menyumbat empat gol pada babak kedua.
Elijah Just, Matt Garbett, Chris Wood and Logan Rogerson mencipta nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu. Skuad negara turut ditimpa malang apabila terpaksa mengeluarkan Darren Lok selepas 13 minit beraksi pada separuh masa pertama.
Meskipun tewas, Pau Marti menyifatkan keseluruhan pengalaman di New Zealand buat anak buahnya sebagai positif.
Pengendali Sepanyol itu turut mengakui kekalahan di tangan New Zealand merupakan satu cabaran buat Harimau Malaya. Pada masa sama, beliau melihat ini sebagai satu pengajaran yang dapat membantu pasukan itu menghadapi jadual kalendar antarabangsa yang seterusnya.
“Ya, saya fikir semuanya positif. Idea untuk datang ke sini dan menghabiskan masa beberapa hari dan bermain bersama, mengadakan perlawanan minit biasa dan berdepan lawan sebegini.
“Ianya sukar untuk berdepan lawan sebegini tapi bagi kita, ia satu cabaran dan kita akan belajar daripadanya,” katanya dalam satu video Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Selepas ini, Malaysia bakal berdepan India untuk aksi persahabatan antarabangsa pada 19 November ini.