Pemangku jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengharapkan sokongan Ekor Harimau Malaya apabila skuad negara berentap dengan Filipina nanti.
Malaysia bakal membuka kempen Pestabola Merdeka 2024 dengan menentang negara serantau, Filipina pada 4 September ini. Sementara juara bertahan, Tajikistan menentang Lebanon pada hari yang sama.
Pau Marti mengakui arif dengan The Azkals memandangkan itu lawan pertama skuad negara semasa menjadi penolong jurulatih kepada Kim Pan-gon dua tahun lalu.
Perlawanan yang berlangsung pada 23 Mac 2022 itu menyaksikan Harimau Malaya meraih kemenangan 2-0. Kedua-dua gol pasukan disumbang pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid.
“Memandang ke hadapan, saya rasa kami mahu menunjukkan kepada penyokong yang pasukan sudah bersedia dan kami tidak mahu berhenti setakat ini. Kami mahu teruskan.
“Dan bagi saya, sangat gembira berpeluang bertemu Filipina. Mereka juga pasukan pertama yang saya hadapi sebagai penolong jurulatih semasa kami menyertai skuad Harimau Malaya, dua tahun lalu,” katanya di platform rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bekas jurulatih Barcelona B itu menyifatkan perlawanan ini sebagai peluang membuktikan Harimau Malaya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran Pestabola Merdeka 2024.
Atas sebab itu, Pau Marti berharap penyokong dapat hadir beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan memberi sokongan padu kepada skuad negara.
“Kami memerlukan sokongan daripada penyokong. Saya rasa Bukit Jalil tanpa penyokong Harimau Malaya akan nampak lain. Kami akan memastikan mereka dapat menikmati perlawanan.
“Jadi saya rasa kita perlu memastikan semua dapat datang dan menyokong pasukan bagi mewujudkan suasana ini supaya dapat memberikan kesukaran kepada pasukan lawan yang datang ke sini,” tambahnya.
Malaysia berharap dapat menebus kehampaan bergelar naib juara edisi 2023 selepas tewas kepada Tajikistan di pentas final.