Bekas jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente meninggalkan ucapan bermakna buat jurulatih baharu Sabah FC, Juan Torres Garrido.
Pau Marti dan Garrido bukan asing kerana pernah menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan Harimau Malaya pada 2024.
Selain memikul tugas sebagai jurulatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), bekas pengarah pembangunan Hajduk Split itu turut menjadi pembantu beliau pada tahun sama.
Selepas mengetahui Garrido kembali ke Malaysia untuk membimbing skuad Sang Badak, Pau Marti meninggalkan satu komen menarik dalam Bahasa Sepanyol dan Bahasa Catalan di Instagram Story.
“Ayuh, Coach Juan (Torres Garrido). Selamat kembali ke Malaysia,” katanya.
Garrido dibawa masuk sebagai pengganti tetap jurulatih sebelumnya, Jean-Paul de Marigny. Beliau juga sudah mengetuai sesi latihan Sabah baru-baru ini.

Garrido akan mengetuai kempen Sang Badak buat kali pertama apabila turun menentang Negeri Sembilan FC pada 28 Februari ini.
Meskipun kini bersama Barcelona, Pau Marti tetap mengikuti perkembangan bola sepak tanah air. Sebelum ini, beliau turut meninggalkan komen bermakna buat seorang lagi bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.