Kapten KL City FC, Paulo Josue berharap pasukan Lembah Klang itu dapat meraih kelebihan gol awal bila turun menentang Sabah FC.
Harapan itu timbul selepas melihat The City Boys jarang menjaringkan gol awal dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25.
Gol terawal pasukan itu untuk musim ini direkodkan dalam aksi pembukaan liga menentang Kuching City FC pada 12 Mei lalu. Gol tersebut direkodkan Josue pada minit ke-12.
Pemain tengah kebangsaan itu berharap trend tersebut dapat diubah menjelang aksi menentang Sabah. Ini kerana gol tersebut bakal memberi suntikan moral kepada KL City selaku tuan rumah.
“Ia sesuatu yang hebat jika kita dapat menjaringkan gol seawal minit pertama (atau) minit kedua (atau) 10 minit. Sebab Sabah perlu bekerja lebih dan itu akan memberi lebih banyak ruang kepada pertahanan kita.
“Dengan Jovan (Motica) pada satu bahagian dan Haqimi (Azim Rosli) pada satu lagi bahagian, kita ada pemain-pemain pantas yang boleh menyerang ruang yang mereka beri,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari untuk Nadi Arena.
Meskipun memiliki kelebihan sebagai tuan rumah, Josue enggan memandang rendah cabaran Sabah. Ini kerana pasukan itu memiliki ramai pemain berkualiti dan telah lama bersama sebagai satu pasukan.
Atas sebab itu, Josue mahu rakan-rakan sepasukannya untuk fokus dan menunjukkan prestasi bagus bagi membolehkan KL City meraih tiga mata.
“Sudah tentu mereka satu pasukan yang bagus dan kuat. Mereka telah lama bermain bersama jadi bukan mudah untuk tewaskan mereka. Kita telah lama menentang mereka.
“Saya harap para pemain dapat menunjukkan fokus dan persembahan yang baik untuk mendapatkan tiga mata penuh,” tambahnya.
KL City bakal berentap dengan barisan anak buah Ong Kim Swee di Cheras untuk aksi hari perlawanan ketujuh.
Perlawanan ini juga dilihat medan buat Josue berusaha memecahkan rekod Fandi Ahmad untuk menjadi peledak terbanyak KL City sepanjang zaman.