Kapten KL City FC, Paulo Josue berharap dapat mengejar penyerang berbisa Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva untuk merebut gelaran Kasut Emas Liga Super.
Musim 2024/25 menyaksikan Bergson mengetuai carta penjaring terbanyak liga dengan 21 gol. Josue di tangga kedua dengan 11 gol.
Menariknya, pemain berusia 35 tahun itu menyamai rekod gol liga terbaiknya dalam liga iaitu 11 gol pada musim 2023. Josue kini mempunyai 10 perlawanan untuk mengejar bekas penyerang Fortaleza itu.
Bekas pemain Juventude itu mengakui bukan mudah untuk merapatkan jurang gol dengan Bergson. Pada masa sama, Josue yakin dapat menyaingi penyerang berbisa Harimau Selatan itu.
“Ya, ini adalah rekod terbaik saya sepanjang bersama Kuala Lumpur jadi saya memang gembira dengan pencapaian ketika ini.
“Saya harap selepas ini saya mampu untuk menjaringkan lebih banyak gol sebab sudah tentu saya nak cuba untuk menghampiri kedudukannya (Bergson) dalam carta penjaring terbaik.
“Sudah tentu dia layak untuk berada di kedudukan sekarang sebab dia adalah pemain yang jauh lebih baik, tetapi saya harap selepas ini giliran saya pula untuk terus merapatkan jurang,” katanya.
Kapten The City Boys itu turut memaklumkan beliau sedia memberikan yang terbaik terutama buat skuad kebangsaan. Josue merupakan penjaring terbanyak Malaysia dalam saingan ASEAN Championship 2024 dengan dua gol.
“Seperti yang kita lihat, saya tidak banyak peranan dalam bahagian pertahanan, tetapi jurulatih memberi saya kebebasan sedikit lebih di bahagian serangan.
“Jadi, saya sangat gembira kerana mempunyai pemain-pemain yang berkualiti di sisi saya dan sentiasa bekerja keras, jadi saya hanya membantu untuk cuba menjaringkan gol demi mereka juga,” ujarnya.
Bisa Josue dijangka ditagih Pau Marti Vicente untuk aksi terakhir Kumpulan A ASEAN Championship 2024 menentang Singapura pada 20 Disember ini.