Advertisement
Paulo Josue Sabar Tunggu Panggilan Kim Pan-gon
Liga Super
MakanBola
KL City FC

Beberapa hari lepas, status Paulo Josue dan Endrick Dos Santos sebagai pemain naturalisasi Malaysia telah disahkan. Dan bagi kapten KL City itu, panggilan menyertai skuad Harimau Malaya merupakan satu penghormatan yang tidak akan dilepaskannya.

Ramai menjangkakan Josue bakal menjadi jeneral tengah skuad yang dibimbing Kim Pan-gon itu. Tetapi setakat ini, pemain berdarah Brazil itu belum menerima sebarang panggilan menyertai Harimau Malaya.

“Saya tak dapat apa-apa lagi panggilan secara rasmi (daripada skuad kebangsaan), tapi saya sedia untuk memberi terbaik jika dipanggil.

“Namun buat masa ini, fokus saya adalah untuk membantu KL City terlebih dulu dan beri sepenuhnya dalam perlawanan bagi memastikan kelab memenangi setiap aksi,” katanya kepada media selepas aksi pertama Liga Super membabitkan KL City dan Penang semalam.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur itu, dua gol Josue meletakkan City Boys di hadapan. Bagaimanapun, gol Hadin Azman dan Giovane Gomes untuk Penang memastikan kedua-dua pasukan pulang dengan satu mata.

Selepas ini, KL City bakal berdepan Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan kedua Liga Super pada 1 Mac di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Walaupun berdepan lawan sukar, impak Josue sebagai pemain naturalisasi pasti ditagih Bojan Hodak untuk membawa pasukan meraih kemenangan.

Selain Josue dan Endrick, Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Lee Tuck dan Sergio Aguero juga merupakan pemain naturalisasi negara.