Jaguh beregu wanita Malaysia, Pearly Tan terpaksa melupakan kempen Uber Cup 2026 akibat kecederaan belakang.
Beliau mengalami kecederaan itu ketika beraksi dalam saingan Badminton Asia Championships (BAC) baru-baru ini.
Perkara ini disahkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi satu kenyataan di semua platform rasmi badan induk itu.
“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bahawa Pearly Tan tidak akan menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan untuk Uber Cup 2026 akibat kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky memaklumkan keputusan itu dibuat susulan penilaian lewat terhadap keadaan fizikal Pearly.
“Pearly tidak berada dalam kedudukan untuk bersaing pada tahap yang diperlukan. Kami terpaksa membuat keputusan bagi memastikan pasukan bersedia sepenuhnya,” kata Rexy.
Pearly kemudiannya memohon maaf kerana tidak dapat membantu kontinjen Malaysia ke Uber Cup.
“Saya memohon maaf kerana mengecewakan semua orang. Saya baru-baru ini mengalami kecederaan belakang semasa kejohanan terakhir saya dan saya minta maaf atas kecederaan itu sekali lagi.
“Saya benar-benar kecewa mengenainya. Hati saya hancur untuk mengatakan bahawa saya tidak akan dapat menyertai Uber Cup kali ini.
“Tiada apa yang saya inginkan lebih daripada berada di gelanggang, berjuang untuk setiap mata dan berdiri bersama pasukan saya. Tetapi disebabkan kecederaan belakang saya, saya terpaksa berundur buat masa ini,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Susulan itu, ramai rakan dan peminat termasuk Goh Jin Wei, Ratchanok Intanon dan M. Thinaah memberi sokongan kepada beliau di ruang komen. Mereka turut mendoakan Pearly agar cepat sembuh.