Beregu wanita utama Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah terlepas peluang bergelar juara Indonesia Open 2025.
Pearly-Thinaah terpaksa akur dengan kehebatan beregu nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning.
Selepas berjaya menyingkirkan Li Yi Jing-Luo Xu Min di peringkat separuh akhir, juara Thailand Open itu berharap dapat meraih trofi sulung jelajah Super 1000.
Meskipun begitu, Sheng Shu-Tan Ning menjanjikan cabaran berbeza buat wakil negara. Kali terakhir kedua-dua beregu bertemu ialah saingan World Tour Finals 2024.
Pearly-Thinaah berjuang habis-habisan sebelum tunduk kepada Sheng Shu-Tan Ning dengan keputusan 21-9, 18-21, 21-18.
Set pertama menyaksikan beberapa kesilapan yang dilakukan beregu negara memberi ruang kepada beregu China itu mendahului pada kedudukan 11-6.
Pearly-Thinaah berjaya mengejar dan mengikat kedudukan 16-16. Kedua-dua beregu terus bersaing mendapatkan mata sebelum wakil Malaysia itu menang dengan keputusan 25-23.
Set kedua menyaksikan kedua-dua beregu bersaing sengit mendapatkan mata. Sheng Shu-Tan Ning kemudiannya mendahului pada kedudukan 14-8.
Pearly-Thinaah cuba mengejar tetapi juara Malaysia Masters itu kekal unggul di hadapan. Sheng Shu-Tan Ning menang dengan keputusan 21-12.
Situasi ini menyebabkan perlawanan diheret ke set penentuan. Set ketiga menyaksikan Pearly-Thinaah kembali menemui rentak dan mendahului pada kedudukan 10-7.
Kedua-dua beregu kemudiannya terikat pada kedudukan 15-15. Kedua-duanya terus bersaing sengit sebelum Sheng Shu-Tan Ning meraih kemenangan dengan 21-19.
Keputusan ini menyaksikan Pearly-Thinaah terlepas peluang mengakhiri kemarau kemenangan Malaysia dalam acara beregu wanita. Kali terakhir beregu negara muncul juara Indonesia Open ialah 2009 menerusi Chin Ee Hui-Wong Pei Tty.