Peluang JDT Makin Cerah
MakanBola
Johor Southern Tigers

Peluang Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melakar kemenangan dalam aksi terakhir saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini kian cerah.

JDT bakal turun beraksi di Stadium Sultan Ibrahim pada 17 Februari dengan misi besar iaitu menewaskan gergasi Jepun Vissel Kobe sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik tanpa perlu bergantung kepada keputusan perlawanan lain.

Ketika ini, JDT sedang bersaing sengit untuk merebut kelompok lapan terbaik bersama lima lagi kelab iaitu Buriram United, FC Seoul, Gangwon FC, Ulsan HD dan Chengdu Rongcheng.

Empat pasukan dari Zon Timur telah pun mengesahkan tempat lebih awal ke pusingan 16 terbaik iaitu Vissel Kobe, FC Machida Zelvia, Sanfrecce Hiroshima dan Melbourne City.

Keyakinan memihak kepada JDT apabila Vissel Kobe dijangka menurunkan barisan kedua sekali gus memberi kelebihan psikologi kepada tuan rumah.

Tambahan pula rekod JDT di Stadium Sultan Ibrahim dalam kempen ACL musim ini cukup memberangsangkan apabila mencatat satu kemenangan ke atas Shanghai Shenhua serta dua keputusan seri ketika menentang Shanghai Port dan FC Machida Zelvia. Rekod ini membuktikan Harimau Selatan kekal kebal di laman sendiri dalam saingan Asia musim ini.

Dalam masa sama pertemuan ini turut menghidupkan misi balas dendam buat JDT. Pada kempen Liga Juara-Juara Asia 2019 hingga 2020 skuad dari Jepun itu pernah membelasah JDT 5 1.

Ketika itu Keijiro Ogawa muncul wira dengan hatrik manakala Kyogo Furuhashi dan Douglas masing masing menambah satu gol. Gol tunggal JDT disempurnakan oleh Safawi Rasid menerusi sepakan penalti pada separuh masa pertama.

Perlawanan tersebut turut dihiasi kehadiran dua bintang veteran Eropah iaitu Andres Iniesta dan Thomas Vermaelen yang ketika itu menyarung jersi kelab Jepun berkenaan.

Kini Harimau Selatan berpeluang menulis naratif baharu. Andai kemenangan berjaya diraih pada 17 Februari ini JDT bukan sahaja mengesahkan kemaraan malah berpeluang mengiringi Vissel Kobe ke pentas pusingan 16 terbaik dengan penuh bergaya.