DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenaan meninjau sesi latihan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebelum aksi menentang Vissel Kobe.
Tinjauan MakanBola yang berada di SSI menunjukkan baginda memantau sesi latihan akhir Harimau Selatan sebelum aksi terakhir Liga Timur ACLE.
Tunku Ismail dilihat turut memberi kata-kata semangat kepada barisan anak buah Xisco Munoz menjelang aksi berkenaan.
Aksi menentang Vissel Kobe dianggap aksi paling penting JDT dalam kempen ACLE. Ini kerana aksi ini menentukan sama ada pasukan itu layak ke pusingan 16 ACLE musim ini.
Harimau Malaya perlu memenangi aksi tersebut jika ingin mengiringi bekas juara J-League 1 musim 2024 itu ke pusingan 16 kejohanan berprestij itu.
Meskipun tempang tanpa Oscar Arribas dan Jonathan Silva yang perlu menjalani penggantungan, perkhabaran terbaru kem Kobe memberi suntikan semangat kepada JDT.
Ini kerana jurulatih Kobe, Michael Skibbe mendedahkan ramai pemain tidak menyertai pasukan itu untuk aksi kali ini.
Selain itu, JDT juga dijangka mendapat sokongan padu penyokong di SSI. Ini kerana tiket aksi pasukan itu dan Kobe laris bak pisang goreng panas.
JDT akan turun berdepan Kobe di SSI pada 17 Februari ini.